Hari ini saya telah tanamkan azam untuk kembali mencoret sedikit lontaran akal pada blog yang sepi ini. Rasa ini tergetar oleh kerana hampirnya kedatangan bulan Ramadhan bulan yang secara peribadinya amat saya rindui. Walaupun bulan ini penuh dengan dugaan dan cabaran kerana umat islam perlu berpuasa sambil meneruskan tugasan harian seperti biasa. Bulan Ramadhan ini ternyata amat istimewa kerana ketenangannya tidak tergambar dengan kata -kata.
Saya terleka seketika ketika dalam perjalan ke tempat kerja tadi apabila teringat sewaktu kecil saya mula hendak belajar berpuasa ibu dan ayah adalah insan yang paling sibuk memberi sokongan semangat. Tidak ingat umur sekitar berapa akan tetapi pada waktu itu saya masih mampu didukung oleh ayah. Jam sudah hampir 4.00 petang "sikit jer lagi abang nak kena tahan sayang noo kalau buka sekarang" perkataan yang keluar dari mulut ibu untuk memberi suntikan semangat agar anaknya ini mampu bertahan. Saya masih teringat pada waktu itu saya sedang duduk diatas meja makan sambil menangis memerhati jam dinding. Lucu bercampur sebak itu yang saya rasakan sekarang. Ayah terus mendukung saya sewaktu dalam tangisan dan dibawanya saya menaiki kereta untuk bersiar-siar. Ayah bijak mengatur strategi supaya anaknya ini terleka dibawanya saya ke taman permainan yang terletak di Stadium Kota Raja. Ayah berjaya membuat saya terleka. Pada hari itu, bulan itu dan tahun itu saya berjaya puasa penuh untuk sehari.
Tenangnya bulan Ramadhan ini kerana saya dapat rasakan saya sendiri dapat menumpukan banyak masa untuk beribadah. Ternyatalah soal spiritual ataupun rohaniah ini yang menjadi pintu utama untuk mendapatkan rehat badan dan rehat akal secara total. Secara peribadi saya sendiri jarang merasa tertekan didalam bulan yang mulia ini. Jika riadah spiritual dapat ditingkatkan pada bulan ini mengapa ia tidak dapat diteruskan untuk bulan-bulan lain? Inilah yang cuba saya rungkaikan. Adakah pengertian Ramadhan ini masih belum cukup sempurna saya dalami?
Jika melihat karakter saya yang suka menunggu masa berlalu menanti waktu berbuka pada waktu kecil, tidak banyak perbezaan ketika saya kini sudah mempunyai keluarga sendiri. Teruja apabila hendak tiba waktu berbuka bermacam juadah ada diatas meja. Habis ada tak habis pun ada. Habis Alhamdullilah yang tidak habis menjadi basi dan terbuang akhirnya begitu saja. Jadi tahun ini azam saya untuk berhemat dalam berbelanja untuk membeli juadah berbuka. Jika nafsu sudah dibelenggu dengan rantai jadi siapakah yang ada didalam diri ini yang mencetuskan perbuatan untuk membeli sehingga berlaku pembaziran?
Itulah sifat tamak yang telah tercerna didalam tubuh manusia. Setiap kita mempunyai cabaran yang berbeza. Ada yang di duga dengan rasa gah pada status personal, ada yang di duga dengan rasa gah pada satus jawatan, ada yang di duga dengan rasa gah pada kedudukan kewangan, ada yang di duga dengan rasa gah pada ilmu perihal kepakaran ada di duga dengan rasa gah pada ilmu agama. Sifat yang membelenggu ini perlu dihindari jika tidak tanpa kita sedari ia nya akan menjadi "Brand Image" pada diri kita sendiri. Cara terbaik yang telah saya lalui untuk melunturkan sifat ini dengan mengambil perkara yang datang secara profesional dan tidak bersifat peribadi. Perlu juga sentiasa berwaspada pada tatacara dalam berkomunikasi.
Semoga Ramadhan kali ini membawa lebih erti dalam hidup ini. Semoga Ramadhan kali ini menjadi peluang untuk hidup kita lebih diberkati dan dikasihi oleh Dia, Maha Pengasih, Maha Pemberi lagi Maha Megetahui. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak Selamat menjalani ibadah puasa.
No comments:
Post a Comment